Thursday, December 18, 2014

9 SEBAB ORANG SUKA BERBUAL-BUAL DAN MAHU BERKAWAN DENGAN KITA.



Pernahkah anda terfikir, kenapa ye setiap kali selepas jumpa orang, sepertinya orang-orang itu sudah tidak mahu berkawan-kawan dan berbual lanjut dengan kita? Rupa-rupanya hanya orang yang tahu seni berbual-bual dan bercakap-cakap mampu menarik lebih ramai orang sukakannya.

Berikut ialah 9 sebab orang suka berbual-bual dengan kita dan mahu berkenalan dan berkawan lebih jauh dengan kita. Seni ini bagus dipraktik jika kita mahu menjalankan bisnes. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membuat orang suka kepada kita terlebih dahulu.


SEBAB 1

Kita mesti suka menolong orang lain. Ini sangat penting. Manusia suka kepada orang yang suka menolong orang lain. Orang-orang yang menerima pertolongan akan suka kepada kita. Kajian-kajian pakar psikologi mendapati orang-orang yang pernah menerima bantuan mudah terpengaruh dengan kata-kata, nasihat dan pandangan orang yang pernah menolong mereka. Suatu perkara yang menarik ialah kita cenderung untuk menyukai orang yang pernah kita tolong.

SEBAB 2

Jadilah orang jujur, ikhlas dan berhati baik. Gambarkan sifat-sifat mulia itu dalam percakapan kita. Manusia memang suka kepada orang yang memiliki sifat-sifat ini. Bagi menggambarkan kita seorang yang baik, elakkan bercakap perkara negatif. Apabila bercakap, bercakaplah perkara baik-baik sahaja. Ingat, jangan bersandiwara, manusia tahu kita hanya berpura-pura dan sampai mati orang akan benci kepada kita. Kita tidak mungkin membuat orang yang curiga dan sangsi kepada kita untuk suka kepada kita.

SEBAB 3

Jadilah pendengar yang baik. Sangat ramai orang yang suka dan petah bercakap akhirnya melakukan kesilapan 'banyak cakap'. Sifat ini membuatkan orang-orang yang mendengar tidak suka perangai ini. Belajar banyakkan bercakap supaya hati orang yang hendak kita pikat itu mendapat banyak peluang bercakap. Biar dia puas bercakap. Sifat manusia suka mendengar suara mereka sendiri, oleh itu manusia akan suka kepada orang yang membenarkan mereka mendengar suara mereka sendiri. Apabila dia sudah suka kepada kita barulah dia suka dan mahu mendengar perbualan dan pendapat kita.

SEBAB 4

Jadikan diri kita orang yang pandai menarik minat orang itu apabila kita bercakap dengannya. Manusia menghargai kata-kata pujian. Belajarlah teknik yang betul memberi pujian. Selalulah ucapkan kata-kata penghargaan. Manusia mudah terpengaruh dengan kata-kata orang yang pandai memberi pengiktirafan, pujian dan penghargaan daripada kita akan bersikap lebih terbuka kepada pendapat kita. Manusia tidak suka kepada orang yang suka mengkritik dan menegur mereka walaupun niat kita baik.

SEBAB 5

Apabila bercakap dan berbual-bual gunakan gaya positif dan koperatif. Gaya positif tidak menggunakan perkataan negatif. Gaya koperatif bermakna kita tidak menunjukkan kita seorang yang pandai dengan membuktikan orang lain bodoh, salah atau tidak betul. Orang-orang yang bodoh menggunakan cara ini untuk membuktikan mereka pandai. Tidak ada orang yang suka membuktikan dirinya salah. Orang-orang yang kita pernah buktikan salah, bodoh dan silap tidak akan menyukai kita. Orang-orang yang bijaksana menggunakan cara lain yang lebih sopan dan lembut untuk membuktikan mereka betul.

SEBAB 6

Apabila berbual-bual jangan tunjukkan kita berminat pada diri sendiri. Ramai orang suka bercakap 'saya..saya..saya' dari mula sehingga habis. Ia amat membosankan orang yang mendengar. Jadi cuba berjimat cermat menggunakan perkataan 'saya'. Manusia memang minat kepada diri mereka sendiri. Mereka menyangka cerita mereka paling menarik untuk diperdengar kepada orang lain. Ingat!!! Hanya kita yang yakin cerita kita adalah cerita yang paling seronok. Demi menjadi orang yang disukai, kurangkan bercerita tentang diri kita tetapi galakkan orang lain bercerita tentang diri mereka. Orang-orang yang banyak berpeluang bercerita tentang diri mereka akan suka kepada kita walaupun tidak semestinya kita akan suka kepada mereka.

SEBAB 7

Apabila bercakap dan berbual-bual, gambarkan kita banyak bersetuju dengan sikap orang itu. Tunjukkan kita setuju dengan sudut pandangannya. Manusia mudah suka kepada insan lain yang bersetuju dengan mereka. Tunjukkan kita juga menghargai idea mereka. Dengan cara itu, estimnya akan naik dan manusia akan suka kepada orang yang meningkatkan estimnya. Katakan juga kita berpegang kepada nilai yang sama dengan mereka. Teknik ini dinamakan teknik bercermin atau dalam bahasa Inggeris teknik mirroring. Teknik ini berdasarkan teori homofili. Tekniik ini mengatakan manusia suka kepada wajahnya sendiri.

Menurut teori ini manusia suka kepada orang yang mempunyai nilai, sikap dan perangai yang sama dengan mereka. Ini kerana orang yang mempunyai nilai dan perangai yang sama akan suka dan membenci perangai yang sama dengan mereka. Sebab itulah kaki umpat suka berbual-bual bersama kaki umpat. Kaki bola suka bergaul dengan kaki bola. Orang bisnes suka bergaul dengan orang bisnes. Sebenarnya orang-orang yang kita suka ialah orang yang serupa dengan wajah kita sendiri.

SEBAB 8

Tunjukkan kita seorang yang positif. Elakkan suka merungut-rungut. Jangan bercakap perkara yang kita tidak suka. Jangan sesekali mengata orang,jangan mencari salah orang. Jangan suka mengkritik orang. Itu semua adalah bukti otak kita dipenuhi perkara negatif. Jangan buat semua itu di depan orang yang hatinya kita sedang pikat. Kajian membuktikan manusia tertarik kepada orang-orang yang positif. Apabila menunjukkan nilai-nilai positif, orang yang berpegang kepada nilai positif akan tertarik kepada kita dan orang itu suka untuk berbual-bual dengan kita.

SEBAB 9

Apabila bercakap dan berbual-bual, ucapkan kata-kata yang membuatkan orang itu seronok. Jangan asyik hendak menyeronokkan diri sendiri. Tunjukkan kita seronok mendengar perbualan mereka.  Caranya ialah dengan teku mendengar apa yang dia cakap. Apabila dia membuat lawak, sambut dengan gelak dan ketawa. Jangan menyampuk dan jangan mencelah perbualannya dan jangan sesekali menyambung ayat-ayatnya. Jangan memandang ke tempat lain. Dengan begitu keperluan jiwanya terisi. Manusia suka kepada orang yang mengisi keperluan jiwanya.


Menurut kajian, manusia yang mempunyai kemahiran berkomunikasi kelihatan lebih menarik, jelita, tampan dan lebih cantik daripada diri mereka yang sebenarnya.


-Info ini dipetik daripada buku Seni Berbual-bual dan Bercakap-cakap-


-TUAN NURUL AIN-`














2 comments: