Pages

Thursday, April 26, 2012

Susuilah Anakmu

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
(Surah Luqman: ayat 14)

Terdapat banyak faedah kepada kedua-dua ibu dan bayi apabila kita mengamalkan penyusuan bayi secara semulajadi. Para ibu disaran memberi susu ibu kepada bayi sehingga bayi berusia sekurang-kurangnya 6 bulan tanpa makanan sampingan yang lain, tanpa susu formula yang lain bahkan tanpa diberi air masak kepada bayi.
    Secara amnya, susu ibu mampu untuk melindungi bayi yang baru lahir (infant) dari serangan virus-virus dan bakteria dengan meningkatkan tahap imunisasi bayi tersebut yang mana masih dalam keadaan yang sangat lemah.
   Susu ibu kaya dengan antibodi serta hormon-hormon yang mampu memberi perlindungan kepada bayi daripada masalah usus (gastrousus), jangkitan pada pernafasan, jangkitan telinga, alahan makanan, kerosakan gigi, pneumonia dan meningitis. Ia juga menggalakkan pertumbuhan pembentukan otot-otot muka dan rahang. Kajian terbaru yang dijalankan oleh Profesor Catharina Svanborg, seorang pensyarah imunologi dari Universiti Lund, Sweden,merumuskan bahawa susu ibu membantu untuk mencegah bayi dari mendapat kanser di mana zat yang disebut sebagai alpha-lac (alphalactalbumin) wujud dalam jumlah yang besar di dalam susu ibu, mampu untuk bertindak balas dengan sel-sel kanser dan membunuhnya.
   Manusia berusaha untuk mencari cara dan solusi melawan kanser dengan rawatan kimoterapi dan berbagai-bagai cara yang lain, namun Allah SWT terlebih dahulu telah menunjukkan kepada kita cara untuk melawan penyakit berbahaya ini.
Satu lagi penelitian yang dilakukan oleh James W. Anderson, ahli University Kentucky mengatakan bahawa bayi yang diberikan susu ibu mempunyai IQ 5 kali ganda berbanding bayi yang tidak diberikan susu ibu. Susu ibu yang diberikan sehingga 6 bulan pertama kelahiran bermanfaat bagi bayi, manakala bayi yang disusui kurang dari 8 minggu tidak dapat memberikan manfaat kepada perkembangan IQ bayi.
   Untuk mereka yang bakal bergelar seorang ibu, fakta ini amat berguna bagi anda. Lihatlah bagaimana al-Quran menerangkan kepada kita sebab untuk seseorang ibu menyusukan anaknya selama 2 tahun. Dan lihatlah bagaimana kajian saintifik membawa kepada kebenaran dan kebaikan yang dibawa. Kalam Allah ini menunjukkan kepada kita al-Quran mendahului penemuan saintifik sejak lebih dari 1400 tahun yang lalu.
bayi 18


   Menyusukan bayi juga baik untuk ibu, antaranya ia akan merembeskan sejenis hormon oksitosin (oxytoxin) dimana hormon tersebut membantu mengecutkan rahim dan mengembalikan rahim ke bentuk asal. Ia juga membantu mengurangkan berat badan sehingga 500 atau lebih kalori sehari dengan aktiviti tersebut. Ia juga mengurangkan risiko terhadap kanser payudara, pre-monopouse, kanser ovari dan osteoporosis.
    Susu ibu dijadikan Allah Taala khusus untuk keperluan bayi dengan jumlah dan faedah yang sangat banyak. Ia mengandungi kuantiti yang paling tepat seperti nutrient, protein, lemak dan karbohidrat untuk bayi. Tiada susu yang setanding susu ibu untuk diberikan kepada bayi waima susu formula ciptaan manusia sekalipun. Jika penyusuan dilakukan secara biasa dan semulajadi, ia mampu mengeratkan hubungan antara ibu dan anak. Ia merupakan sentuhan kulit dan rangsangan tersebut turut dirasai bayi.
   Di dalam Islam ada menyatakan bahawa besar pahalanya seorang ibu yang menyusukan anaknya. Ia menyebut bahawa demi kesihatan anak, ibu hendaklah menyusukan anak dengan susu ibu. Sejajar dengan firman Allah Taala di dalam al-Quran yang bermaksud,
“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.”
(al-Baqarah:233)
Imam Syafie juga pernah berkata, “Sihat atau tidak anak itu bergantung sama ada anak disusui ibu atau tidak walaupun sekali susuan."
Duhai ibu, sesibuk mana sekali pun dirimu, susuilah anakmu!
credit to perubatan.org

No comments:

Post a Comment