Pages

Wednesday, December 28, 2016

ELAK KEMALANGAN DI RUMAH

Rumah sepatutnya menjadi tempat yang paling selamat untuk kita sekeluarga. Tetapi, langkah-langkah keselamatan perlu diambil kira sebaik sahaja anak lahir. 

1. Pertama sekali, pastikan bayi dalam keadaan selamat dan selesa. Pastikan ibu sedar saat menyusukan anak kerana kita khuatiri anak-anak tersedak sewaktu menyusu manakala ibunya terlelap. Keadaan ini boleh membawa maut. 

Selepas menyusu, baringkan anak mengiring 45 darjah supaya bayi tidak tersedak dan muntah semasa tidur. 


Jika anak kelihatan tercungap-cungap atau tersedak, tepuk bayi supaya kembali bernafas seperti biasa. Pesan ilmuan, kalau menyusu anak, bangun. Jangan sesekali tidur. Yang ni saya lemah lagi. Sebab saya akan terlelap dengan anak. Sebab waktu menyusu, Oxytocin meningkat, memang mengantuk atau lebih tepat otak terawang-awang. 
Pastikan bayi tidur di dalam katil bayi atau di atas lantai. Selimut yang digunakan tidak terlalu tebal bagi mengelakkan bayi lemas sewaktu tidur.

2. Jika ada anak kecil, pastikan lantai bersih tanpa sampah mahupun mainan kecil. Kerana pada usia 6 bulan ke atas, anak mula mengutip barang dan bawa masuk ke mulut. 
Waktu ni cicak, anak cicak, lipas, tahi cicak semua kena perhati. Sebab mereka akan masukkan apa sahaja di dalam mulut. Duit syiling, bateri kecil amat bahaya. Perhati, perhati, perhati. 


3. Di dapur. Setiap kali memasak, pastikan pemegang kuali, dihalakan ke arah berlainan kerana anak-anak suka mencapai apa sahaja yang ternampak. Selepas memasak, susun elok-elok masakan yang panas. Tutup api dapur selepas guna. 

Elakkan anak-anak bersendirian di dapur. Simpan semua mancis, alatan tajam di tempat selamat. 


4. Awasi tempat menyimpan air anda. Sekarang musim catuan air, kena fikir pros and cons simpan air dalam baldi ni. Kalau ada anak kecil, sebaiknya simpan air di dalam botol bukan baldi. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Walau air hanya sedalam 5cm, bayi atau kanak-kanak boleh lemas di dalamnya. Ada kes kematian bayi setahun lebih terjatuh di dalam baldi simpanan air di bawah sinki. Bayi tersebut mati lemas. Nauzubillah. Semoga kita dijauhkan daripada ujian sedemikian. Jika bayi dimandikan di dalam besen, pastikan besen ditelangkupkan selepas memandikan bayi. 


5. Jika rumah anda dilengkapi kolam renang, pastikan kolam tersebut berpagar. Terlalu banyak kes kematian anak kecil terjun di kolam renang tanpa ibu bapa perasan mereka ke sana. Rumah dilengkapi kolam memang mewah, tetapi aspek keselamatan harus dititik beratkan. 


6. Terus lap lantai basah. Lantai licin boleh mengundang kecederaan seperti jatuh. Anak saya pernah kena, lepas saya mop lantai mereka main kejar-kejar, sekali jatuh terlentang. Masya-Allah, benjol besar macam bola ping pong. Waktu tu tuam dengan telur rebus sampai telur tu sejuk. Alhamdulillah surut. Kalau tak surut dan nampak anak tak aktif, memang bawa ke hospital dah. 

Pen, pensel di lantai dan di tangga juga boleh membawa padah. Ada kisah benar, bukan kanak-kanak yang jatuh, tapi nenek kanak-kanak. Tak masuk usia emas lagi, tapi berjalan laju agaknya, jatuh, terhempap tangan, patah tangannya. Kesiankan. Lepas guna alat tulis, minta anak-anak kemas kembali ke tempat asal. 

7. Saya ada bayi nak masuk 9 bulan, tanggalah tempat yang dia suka sangat. Belum ada pagar lagi, kakak-kakak yang tolong tengokkan waktu saya masak. Kalau saya penat sangatpun, kena bawa si kecil masuk bilik. Tutup pintu bilik, tutup pintu tandas. Pastikan lantai bersih tiada barang kecil di mana kemungkinan untuk masuk ke mulut tinggi. Hanya kecuaian yang sedikit boleh membawa padah. 

8. Keadaan tandas yang tidak terjaga boleh mengundang kemalangan. Susun betul-betul kelengkapan mengemas dan mencuci. Pastikan lantai tidak berlumut. Cuci sentiasa. Saya gunakan pencuci lantai Basic H untuk pastikan lantai sentiasa bersih dan elak lantai licin. 


Ini alat cuci tandas saya. Simpan di tempat tinggi. Kena sebut satu-satu pada anak dan labelkan supaya anak tidak main spray ni buat sembur muka. BAHAYA!! 

9.  Tengok gambar ni, ya!! Anak-anak suka main plug. Ada ketika dimasukkan jari dalam lubang. Pernah dengarkan ada bayi meninggal kena renjatan elektrik? Kena tutup plug ni. 

10. Pastikan pintu pagar sentiasa bertutup. Anak-anak ni tindakan mereka luar kawal. Nampak pagar terbuka, mudah mahu meluru keluar tanpa toleh kiri kanan.

Itu sahaja untuk entri kali ini. Pastikan rumah kita tempat yang paling selesa dan selamat. 

No comments:

Post a Comment